Petua Semulajadi Menghalau Nyamuk

Petua Semulajadi Menghalau Nyamuk Dengan Limau Nipis Dan Bunga Cengkih. Jimat Dan Berkesan | Bahan da­pur boleh menjadi sumber al­ter­natif yang mungkin boleh di­amalkan untuk menghalau nyamuk ketika negara kini berdepan penularan penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan Zika.

Berdasarkan carian dalam internet, terdapat pelbagai bahan semulajadi digunakan untuk menghalau nyamuk terutamanya di kawasan kediaman,

Termasuk petua lama menggunakan serai wangi, menanam pokok jeremin (halau nyamuk) mahupun petua mudah dengan mencucuk bunga cengkih pada limau nipis.

Berkongsi tips menghalau nya­muk, Noraini Jamsit, 53, berkata sudah lebih 50 tahun keluarga­nya mengamalkan petua menggunakan limau nipis dan bunga cengkih untuk menghalau nyamuk.

Katanya, amalan turun temurun itu jelas berkesan kerana ke­diamannya bebas daripada nya­muk dan lalat sejak ia diamalkan.

Beliau yang tinggal di Palong 13, Negeri Sembilan, berkata, dia tidak perlu menggunakan kelambu atau sebarang semburan bahan kimia untuk mengelak daripada gigitan nyamuk.

“Selain bahan-bahannya se­nang diperoleh, cara ini juga menjimatkan perbelanjaan dan aromanya cukup menenangkan,” katanya kepada Bernama.

Bagi Rukiah Rahmat, 80, beliau menggunakan cara yang berbeza untuk menghalau nyamuk iaitu membakar sabut kelapa pada waktu senja.

“Pukul 6 petang saya sudah mula kumpul sabut kelapa dan bakar di bawah rumah. Asap daripada bara sabut kelapa yang dibakar boleh menghalau nyamuk,” katanya yang pernah mengamalkan cara itu ketika tinggal di Kampung Tambak Bugis, Melaka.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Parasitologi dan Entomologi Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Roslaini Abd. Majid berkata, tiada bukti saintifik yang membuktikan keberkesanan petua-petua lama itu untuk menghalau nyamuk setakat ini.

“Cuma saya rasa aroma yang kuat daripada penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti serai wangi, pokok jeremin dan bunga cengkih mungkin menjadi faktor penghalang kepada gigitan nyamuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia merekodkan kes pertama apabila seorang wanita berusia 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang, Selangor positif dijangkiti virus zika, dan disyaki mendapat gejala itu semasa berkunjung ke Singapura.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Chong Chee Kheong berkata, pesakit yang dijangkiti zika akan dirawat menggunakan kaedah seakan sama untuk merawat denggi memandangkan virus itu disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. – BERNAMA